Header Ads

JEJAK AHLUL BAIYT RASULULLAH S.A.W YANG DIHILANGKAN

Ilustrasi
Umumnya dalam sejarah-sejarah dan teks sejarah baik dalam negara mahupun luar negara, menyatakan bahawa kemasukan masyarakat islam di nusantara ini adalah daripada 3 rantau yang berbeza. Pertama, dikatakan islam di nusantara datang daripada pedagang dan pendakwah daripada China, India dan Arab, pedagang dan pendakwah ini datang ke nusantara dengan dua matlamat iaitu menyebarkan agama islam ke seluruh pelusuk dunia dan yang kedua adalah berdagang barangan dagangan daripada tempat asal mereka. Apa yang dikesali adalah seolah-olah ada tangan-tangan ghaib di belakang yang mencatur teks-teks sejarah negara supaya dihilangkan jejak pendakwah-pendakwah daripada kalangan Ahlul Baiyt Rasulillah S.A.W, sedangkan rata-rata pedagang dan pendakwah tersebut majoritinya ahlul baiyt. Jika disoroti dalam sejarah, mengapa nusantara dipilih menjadi rantau pilihan mereka? Adakah berkaitan dengan hadis akhir zaman yang menyatakan bangsa timurlah yang akan membangkitkan islam di akhir zaman?

Kedatangan islam di kepulauan mindanao dan seterusnya melingkari pulau borneo sejakk abad ke 14 lagi. kebanyakan pembawa ajaran islam di kepulauan tersebut adalah para ulamak yang terdiri daripada orang-orang arab berketurunan ulama’ ahlul baiyt yang datang samada dari Makkah, Madinah dan Yaman. Mereka ini juga terdiri daripada kalangan pengamal tasawuf iaitu jalan seorang Salik dalam menuju Allah. Kedatangan ulama sufi ini telah diterima dengan cepat oleh penduduk sekitar Nusantara disebabkan sikap dan teknik dakwah mereka yang lemah lembut dan penuh dengan kesantunan.


Kepulauan Sulu

Berbicara tentang kedatangan islam ke Sulu adalah satu perkara yang akan menyingkap sejarah awal munculnya keRAJAan dan Ketamadunan yang telah diterbit daripada permulaan naungan cahaya Khalifah Muhammad S.A.W di kepulauan Nusantara amnya. Hasil daripada persoalan ini akan membawa kepada satu jawapan yang boleh diberi terhadap semua persoalan. Islam itu sendiri adalah lambang kewujudan bangsa Sulu, perhubungan Sulu dan Islam eratnya ibarat ombak dan pantai, tanpa pancaran Nur Muhammad S.A.W yang menyinari hati-hati orang Tausug, maka tiadalah kegemilangan kehidupan mereka itu tercatat dalam lipatan sejarah seperti yang kita ketahui pada hari ini.

Tiada siapa pun dapat menidakkan bahwa dengan kedatangan Islamlah yang menyebabkan Bangsa Tausug  mulia, terbilang dan gemilang hinggakan selama beberapa kurun lamanya TIDAK PERNAH TEWAS sejak dahulu lagi walaupun dihimpit dan ditekan oleh musuh Islam sehinggakan bangsa mereka ini dicop sebagai bangsa bodoh dan pengganas. Sedangkan mereka ini adalah saudara seislam kita, dan menjadi kewajiban bagi orang mukmin untuk mempertahankan, melindungi dan membantu orang mukmin yang lain, lebih-lebih lagi keturunan baginda rasulillah S.A.W yang ditindas didepan mata kita sendiri. Dimana peribadi mukmin yang ada dalam diri kita? benarlah sabda baginda mafhumnya bahawa orang islam di akhir zaman itu ibarat buih-buih di lautan, para sahabat bertanya kembali kepada Rasulullah kenapa, baginda menjawab mereka itu ramai, namun seperti buih yang mudah pecah dan tidak bersatu. Nah, ini lah jawapan kenapa kita hanya mendiamkan diri, memekakkan dan membutakan mata kita sendiri tentang nasib mereka sekarang.

Walaupun keadaan bangsa mereka yang teruk ditindas dan dinafikan hak sejak dahulu lagi, jiwa mereka tetap utuh dan untuk mempertahankan negara bangsa mereka dari Kuffar kerana ianya adalah perintah Allah dan RasulNYA , dan sekiranya mereka mati, maka syahidlah mereka di jalan Allah. Rahsia kekuatan mereka tidak lain dan tidak bukan adalah kerana islam itu sendiri, melalui konsep inilah kita dapat melihat betapa perinya pentingnya islam dalam kehidupan masyarakat Sulu ini.

Kedatangan Islam di Sulu adalah melalui wasilah dari ahlul Baiyt Rasulillah S.A.W, kedatangan Ahlul Baiyt di Sulu bukan untuk tujuan perdagangan semata-mata, tetapi untuk menyampaikan risalah dakwah mereka untuk mengajak kepada agama Allah S.W.T. Para ahli sufi menjadikan pakaian dakwah mereka melalui pendekatan mazhab Syafie yang sederhana telah berjaya menambat hati orang-orang Sulu dan Mindanao untuk memeluk Islam. Mereka masuk islam beramai-ramai tanpa paksaan mahupun perperangan,hal ini adalah perkara yang  ganjil bagaimana masyarakat nusantara masuk Islam berduyun-duyun ramainya tanpa melalui perperangan bahkan melalui jalan aman sehinggakan para Raja, Sultan dan Pembesar turut menyatakan keislaman mereka secara mutlak. Izinkan untuk penulis membicarakan sedikit hal berkaitan agama asal Orang Melayu sebelum kedatangan agama Islam di Nusantara. Penulis percaya, masyarakat nusantara asalnya adalah beragama Hanif iaitu agama Nabi Ibrahim dan bukannya daripada  sesuai dengan kajian daripada sarjana-sarjana mengenai bangsa Melayu yang berasal daripada Sulbi nabi Ibrahim A.S. Hal ini bertepatan dengan kajian-kajian bahasa/linguistik daripada pakar-pakar bahasa yang menyatakan bahawa bahasa sanskrit itu adalah bahasa agama Hanif di Nusantara, antara bukti yang dikemukakan adalah terdapat perkaitan mendalam antara subjek gelaran bagi ritual/cara pengamalan agama dalam  bahasa sanskrit dengan agama islam selepas kedatangan agama Islam di Nusantara. Terdapat sebilangan pengkaji beranggapan bahawa bahasa Sanskrit ini adalah bahasa bagi agama Hindhu-Buddha, sedangkan bahasa Sanskrit itu asalnya adalah bahasa kepada Agama Hanif.

Apabila kita memperkatakan tentang kedatangan islam ke Selatan Filipina, maka tidak akan sempurna jika ahlul baiyt Rasulullah S.A.W ini tidak disebut terlebih dahulu, kerana sistem kesultanan Sulu dan Maguindanao bermula di tangan para Ahlul Baiyt. Pengislaman secara meluas juga berlaku di tangan mereka(ahlul baiyt) di seluruh wilayah nusantara.

Berikut adalah susunan kedatangan para ulamak ke Sulu termasuk para Ahlul Bait:

1. Tuan Masha’ika (Tuan Syeikh) dan Tuhan (Tuan) Maqbalu pada 710 H bersamaan 1310 M (sezaman dengan Batu Bersurat Terengganu 1303)

2. Karimul Makhdum (Tuan Syarif Aulia) dan Makhdum Aminullah (Sayyid Un-Nikab)

3. Raja Baguinda (Dari Minangkabau Sumatera)

4. Sayyid Abu Bakar (Syariful Hasyim) Pengasas Kesultanan Sulu bermula 1450 atau 1457 M.

5. Syed Alawi Balpaki ( Datang 1735 M)

Melihat senarai nama-nama di atas maka jelaslah bahawa kedatangan Islam ke Sulu adalah kebanyakannya dibawa oleh para Ahlul Bait. Malah di sekitar Nusantara pun para Ahlul Baitlah yang banyak disebut sebagai penyebar utama agama Islam ini termasuk wali-wali Songo di Indonesia serta penyebaran Islam di Tanah Melayu oleh para makhdumin.

Berikut adalah penjelasan dari senarai nama-nama ulamak di atas:

1. Tuan Masha’ika (Tuan Syeikh) dan Tuhan (Tuan) Maqbalu Salasilah Sulu menyatakan bahawa Tuan Masha’ika adalah seorang arab yang datang ke Sulu, telah berkahwin dengan anak perempuan Raja Sipad (Sripaduka) dan perlu di-nyatakan juga bahawa Raja Sipad bukanlah seorang Islam ketika itu. Daripada perkahwinan ini lahirlah anak-anak Tuan Masha’ika iaitu Tuan Hakim dan Aisha serta cucu-cucu beliau yang sudah tentunya mereka ini adalah orang-orang Islam. Dan tentunya juga Tuan Masha’ika ini adalah seorang ulamak yang memulakan dakwah melalui perkahwinan dengan puteri Raja Sipad di Sulu itu. Ini bermakna sebelum kedatangan Islam lagi Sulu sudah punya raja. Cuma tidaklah tersusun seperti sistem yang diperkenalkan oleh Sultan-sultan Sulu selepas itu yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi. Berkenaan dengan Tuhan atau Tuan Maqbalu pada 710 H bersamaan 1310 M itu tidaklah diketahui riwayat hidupnya di Sulu sama ada beliau seorang muballigh atau pedagang atau pun berkemungkinan beliau adalah ketua kaum di Sulu. Yang pastinya kubur beliau yang berada di Bud Dato adalah sezaman dengan Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 702 H (1303 M) yang juga punya gelaran yang hampir sama iaitu ‘Seri Paduka Tuhan’ bermaksud Seri Paduka Tuan berdasarkan pada batu nesannya.

2. Karimul Makhdum (Tuan Syarif Aulia) dan Makhdum Aminullah (Sayyid Un-Nikab) Makhdum Aminullah (Sayyid Un-Nikab) Karimul Makhdum sudah pastinya seorang Ahlul Bait berdasarkan gelaran Syarif Aulia oleh orang-orang tempatan terhadapnya. Nama asal beliau ialah Sayyid Ibrahim Zainul Al-Akbar @ Karimul Makhdum bin Sayyid Jamaluddin Hussein Al-Kubra bin Sayyid Ali Amir Ahmad Shah Jalaluddin bin Sayyid Amir Abdullah Khan bin Sayyid Abdul Malik bin Sayyid Alwi Amal Al-Faqih (di sini nasabnya bertemu dengan Sayyid Abu Bakar @ Syariful Hashim). Karimul Makhdum adalah Ayahanda kepada beberapa orang Wali Songo. Dan beliau juga adalah seorang pendukung Sufi yang punya karamah (bercakap dengan kertas, berjalan atas air, terbang di udara dan menyelamatkan orang dari mati lemas) hinggakan karamah ini diakui sendiri oleh seorang ahli Jesuit, Francisco Combes bahawa kuasa-kuasa magis itu memang wujud ketika awal-awal kedatangan Islam ke Sulu. Beliaulah yang datang ke Buansa melalui Tapul, dan mendirikan sebuah masjid di Tubig Indangan dan dikebumikan di Tandu Banak, Sulu. Makhdum Aminullah pula adalah seorang pedagang, juga seorang muballigh yang datang melalui China. Berdasarkan namanya (Sayyid Un-Nikab) beliau juga adalah dari Ahlul bait dan dikebumikan di Bud Agad, Sulu.

3. Raja Baguinda (Putera Raja dari Minangkabau, Sumatera) Raja Baguinda bukanlah seorang ulamak tetapi berkemungkinan besar membawa bersamanya beberapa orang ulamak Minangkabau. Beliau belayar dari Sumatera dan mendarat di pantai Zamboanga dan kemudian ke Basilan. Tetapi kedatangannya ke Sulu menambahkan lagi kekuatan dan semangat persaudaraan sesama rumpun Melayu Islam di Sulu.

4. Sayyid Abu Bakar (Pengasas Kesultanan Sulu 1457 M) Sayyid Abu Bakar setelah menjadi Sultan Sulu yang pertama telah memakai gelaran Sultan Syariful Hasyim. Sebelum Sayyid Abu Bakar sampai ke Sulu, telah tercatat dalam catatan sejarah Melayu lama berkenaan dengan kedatangan Sayyid Abu Bakar ke Melaka di masa pemerintahan Sultan Mansur Syah dalam tahun 1456 -1477 M dengan membawa sebuah kitab bernama Ad-Durr Al-Manzum (Karangan Abu Ishak As-Syirazi) yang ditulis dalam bahasa Arab. Setelah berdakwah di Melaka beliau pergi pula ke Palembang, dari Palembang ke Brunei dan dari sana terus ke Sulu.

Di Sulu Sayyid Abu Bakar berkahwin dengan anak Raja Baguinda yang bernama Paramisuli (Permaisuri). Setelah menjadi Sultan maka beliau menetapkan agama Islam sebagai agama rasmi Kerajaan Sulu. Dan beliaulah yang berjaya mengislamkan ramai orang Tausug samada yang tinggal di pantai (Baklaya & Taguimaha) atau orang Tausug di pergunungan (Buburanun) sedangkan sebelum ini sebahagian besar mereka adalah kafir. Syariful Hasyim telah tinggal lebih kurang 30 tahun di Buansa, Sulu dan sempat meninggalkan beberapa orang keturunannya iaitu Kamaluddin yang telah menggantikan ayahandanya sebagai Sultan di Sulu.

5. Syed Alawi Balpaki Berkenaan Syed Alawi Balpaki, ulamak ini adalah pendakwah yang dikenali seperti yang dinyatakan oleh Sir John Hunt yang berada di Sulu pada tahun 1814 bahawa ketika pemerintahan Sultan ‘Azimuddin-I (naik takhta pada 1735 M) seorang lagi Syarif telah datang dari Mekah bernama Syed Berpaki ke-rana beliau berjaya mengislamkan hampir-hampir seluruh penduduk di sana. Beliau pernah berdakwah di Borneo kemudian ke Tawi-tawi dan meninggal dunia di Tubig Dakulah, Sulu. Syed Alawi Balpaki ini juga jelas dari pada Ahlul Bait berdasarkan namanya terdapat Syed atau Sayyid (dari keturunan Sayyidina Hussein ra).

Prof. Cesar Adib Majul telah menjelaskan pada kita dalam bukunya yang terkenal Islam Di Filipina bahawa terdapat kekeliruan dalam penggelaran makhdum kepada ulamak-ulamak itu. Makhdum bermaksud orang yang di hormati dan penggelaran dengan hanya memanggil makhdum tanpa menyertakan nama sebenar adalah mengelirukan. Walhal mereka semua para ulamak itu adalah Makhdumin (orang-orang yang dihormati). Ini tidaklah menghairankan apabila orang-orang Sulu memanggil makhdum kesemua ulamak terdahulu tanpa nama penuhnya disebabkan tiada tarikh atau sebarang catatan khusus yang boleh dirujuk tentang makhdum-makhdum itu sendiri melainkan apa yang telah tertulis dalam Salasilah Sulu yang ada di tangan orang-orang Sulu itu (catatan peristiwa-peristiwa tanpa tarikh).

Sebagaimana kekeliruan tentang penggelaran makhdum, kekeliruan juga turut berlaku pada penggelaran Sayyid @ Syed atau Syarif @ Sharif (Salip). Dalam konteks masyarakat Moro Sulu, gelaran Sayyid (keturunan dari Sayyidina Hussein r.a.) dan Syarif (keturunan dari Sayyidina Hassan r.a.) kedua-duanya digelar Syarif atau dalam pelat orang-orang Sulu disebut Salip. Satu kebiasaan bagi orang-orang Sulu hanya memanggil Syarif (Salip) kepada kesemua pendakwah yang datang ke Sulu dari kalangan Ahlul Bait itu. Di alam Melayu seperti Tanah Melayu, Indonesia, Brunei atau Pattani mereka kebiasaannya membezakan keturunan Sayyidina Hussein r.a. dengan gelaran Syed, Sayyid atau Habib manakala keturunan Sayyidina Hassan r.a. digelar Syarif. Di Malaysia hari ini kita biasa mendengar nama-nama yang bermula dengan Nik, Wan, Tuan, Abang (Sarawak), Meor yang juga dikaitkan dengan Ahlul Bait Rasulullah saw. Maka jelaslah bahawasanya Islam itu datang ke Sulu adalah atas usaha para Ahlul Bait. Orang-orang Sulu atau Tausug itu telah menjadi terbilang dan gemilang setelah mereka masuk Islam keseluruhannya. Mereka ditanamkan semangat jihad yang tiada dalam agama anutan mereka sebelum ini.

Para ulamak membawa kalimah tauhid ke hati-hati orang Tausug itu walaupun para ulamak itu telah pergi meninggalkan mereka namun semangat mempertahankan aqidah mereka tetap utuh sehingga ke hari ini. Semangat mereka menakutkan bangsa-bangsa penjajah yang datang menjajah negara dan aqidah mereka hinggakan mereka digelar Juramentado (Berani Mati). Sultan-sultan Sulu dan para Datu masih meneruskan semangat kepimpinan para makhdumin itu di Sulu hingga ke hari ini mereka telah dan masih menjadi sumber inspirasi orang-orang Tausug. Hanyasanya mereka menjadi lemah sejak akhir-akhir ini setelah berjayanya para egen-egen penjajah mencetuskan perang moden ke atas bangsa dan negara mereka yang menyebabkan mereka bertaburan menjadi pelarian. Rancangan kuffar yang begitu rapi ini menyebabkan mereka kehilangan arah mencari pemimpin yang sebenar. Inilah matlamat peristiharan undang-undang tentera oleh Ferdinand Marcos yang akhirnya Kesultanan Sulu seolah-olahnya telah terhapus di Kepulauan Sulu itu. Namun wajib untuk kita percaya bahawa di akhir zaman, para Ahlul Baiyt Rasulillah S.A.W akan diangkat kembali daripada penindasan, fitnah dan kerosakan dan daripada kalangan merekalah akan lahir pemimpin akhir zaman.

Dari Ibnu Mas’ud RA, katanya,
“Ketika kami berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba datang sekumpulan anak muda dari kalangan Bani Hasyim. Apabila terlihatkan mereka, maka kedua-dua mata baginda SAW dilinangi air mata dan air muka baginda kelihatan berubah. Aku pun bertanya, “Mengapakah kami melihat pada wajah Tuan sesuatu yang tidak kami sukai?” Baginda menjawab, “Kami Ahlul Bait telah Allah pilih untuk kami akhirat lebih dari dunia. Kaum kerabatku akan menerima bencana dan penyingkiran selepasku kelak sehinggalah datang suatu kaum dari sebelah Timur yang membawa bersama-sama mereka Panji-panji Hitam. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikannya, maka mereka pun berjuang dan beroleh kejayaan lalu diberikanlah apa yang mereka minta itu tetapi mereka tidak menerima sehinggalah mereka menyerahkannya kepada seorang lelaki dari kaum kerabatku yang akan memenuhkan bumi ini dengan keadilan seperti halnya bumi ini dipenuhi dengan kedurjanaan sebelumnya. Sesiapa di antara kamu yang sempat menemuinya, maka datangilah mereka itu walaupun terpaksa merangkak di atas salji. Sesungguhnya dia adalah al-Mahdi.”

(Ibnu Majah)

Wallahua’lam…

Disadur dari mentaritimur.wordpress.com

Tidak ada komentar